KUALA LUMPUR - Peguam Karpal Singh yang juga pengerusi DAP didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini terhadap pertuduhan  mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak berhubung pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar pada 2009.

Karpal, 73, dituduh mengeluarkan kenyataan itu di firma guamannya di Jalan
Pudu Lama pada 6 Februari 2009.

Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan 7 Mac untuk menjatuhkan hukuman setelah peguam Karpal Singh, Gobind Singh Deo yang juga anaknya, memberitahu mahkamah bahawa tertuduh tidak berapa sihat dan memerlukan masa untuk menyediakan mitigasi.

Azman dalam penghakimannya di akhir kes pembelaan, berkata mahkamah telah mengambil kira keterangan Karpal Singh yang mengambil masa selama tujuh hari, dan seorang lagi saksi pembelaan, tetapi keterangan mereka gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau berkata mahkamah juga telah mengambil kira keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan Karpal Singh membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapinya setelah dia dilepaskan dan dibebaskan di akhir kes pendakwaan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Karpal Singh didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Mohammad Nizar sebagai menteri besar dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir oleh Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Karpal Singh daripada pertuduhan itu pada 11 Jun 2010, bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 20 Januari 2012 memerintahkan peguam berkenaan membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Sebaik sahaja keputusan hari ini, Karpal Singh memberitahu pemberita beliau menghormati keputusan mahkamah dan akan membuat rayuan selepas mahkamah menjatuhkan hukuman.

Pada prosiding hari ini, selain semua anggota keluarga, para pemimpin utama Pakatan Rakyat turut hadir memberi sokongan kepada Karpal Singh, yang juga merupakan anggota Parlimen Bukit Gelugor.

Pihak pendakwaan hari ini diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin. - Bernama